BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Pemergian Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, bukan sahaja diratapi ahli keluarganya, malah menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.
Meninjau ke media sosial adik kepada allahyarham, Nur Aufahanie Mokhtar, 21, menyifatkan abangnya sebagai insan paling baik pernah ditemui sepanjang hayatnya.
“Terima kasih Allah, kau pinjamkan kami sekeluarga insan yang sangat baik hati, hebat, ikhlas, kuat.
“We love you, Am. I love you. Bahagialah di syurga Firdausi ya..”, tulisnya di Instagram.
Terdahulu, Nidza Afham yang juga bekas peserta I Can See Your Voice 3 dilaporkan hilang selepas keluar joging di Stadium Klang, Selangor, kira-kira pukul 11.53 malam semalam.
Begitupun, dompet dan telefonnya ditemui di Jambatan Sungai Klang, membuatkan keluarga mengajukan laporan polis tengah malam tadi.
Aufahanie turut berkongsi tangkap layar kronologi kehilangan abangnya yang hanya membalas mesej keluarga pada kali terakhir pukul 9.04 malam sebelum hilang.
Lewat petang semalam, Polis Selangor mengesahkan menemui mayat seorang lelaki sekitar jambatan Sungai Klang yang kemudian disahkan sebagai Nidza Afham.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan mayat tersebut dijumpai sekitar 7 malam kira-kira 1 kilometer dari lokasi Nidza dilaporkan hilang.
Jenazah kini dalam proses bedah siasat di Hospital Shah Alam dan dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Bukit Cherakah selepas zohor.
Semoga kebenaran terungkap dan untuk itu kita serahkan kepada pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka. — Arena Muzik