PENYANYI terkenal antarabangsa, Celine Dion telah membuat persembahan istimewa sebagai penutup majlis pembukaan Olimpik Paris di Trocadero, Paris pada Jumaat.
Persembahan luar biasa tersebut menandakan konsert terbuka pertamanya dalam beberapa tahun selepas bertarung dengan sindrom orang kaku.
Dion yang dikenali dengan suara vokal yang tinggi dan memukau telah mendendangkan lagu “Hymne à l’amour” nyanyian Edith Piaf dari Menara Eiffel.
Walaubagaimanapun, media antarabangsa melaporkan bahawa Dion akan menerima bayaran yang tinggi untuk penampilannya di Olimpik.
Baca juga: Konsert Yaph dan Teman-Teman ‘hadiah’ buat peminat pada Oktober depan
Memetik laporan Page Six, perkara tersebut mendedahkan bahawa penyanyi lagu “My Heart Will Go On” itu tidak akan menerima sebarang bayaran untuk penyertaannya dalam program tersebut.
Lebih menarik lagi, pihak media tersebut berkongsi bahawa tiada seorang pun daripada penghibur yang hadir membuat persembahan akan menerima sebarang bayaran untuk menjadi sebahagian daripada majlis pembukaan.
“Berbeza dengan laporan media tertentu, para penghibur di upacara Olimpik Paris 2024 tidak akan menerima sebarang bayaran untuk persembahan mereka.
“Keputusan mereka untuk membuat persembahan dalam keadaan ini mencerminkan hasrat mereka untuk menjadi sebahagian daripada acara bersejarah untuk Perancis dan dunia sukan,” kata seorang jurucakap Olimpik kepada penerbitan tersebut pada Rabu.
Baca juga: Ku Percaya taruhan baharu Kat Roshan
Sementara itu, Dion dilihat sempat membuat satu hantaran di Instagram miliknya dan menzahirkan rasa gembira apabila dapat kembali ke Paris dan berjumpa rakan-rakannya.
“Setiap kali kembali ke Paris, saya dapat rasakan keindahan serta keseronokan yang belum cukup saya tempuhi di dalam dunia ini.
”Saya cintakan Paris dan rasa gembira untuk kembali ke sini. Terima kasih kepada rakan-rakan saya yang berada di The Lourve,” tulisnya sebagai kapsyen pada 24 Julai 2024.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan bahawa Dion akan berduet bersama bintang popular, Lady Gaga untuk persembahan pembukaan Olimpik Paris.
Khabar tersebut menjadi kenyataan dan membuatkan kesemua peminat serta lebih 10,000 atlet yang hadir untuk acara tersebut berasa teruja dengan penampilan mereka berdua. — Arena Muzik