WALAUPUN siri jelajah konsert ‘Jilid Akhir: Ella Puteri Kota’ sudah berakhir, ratu rock negara, Ella bakal mengadakan sebuah konsert yang lebih istimewa ‘JILID ROCKESTRA ELLA: ROCKERS JUGA MANUSIA’ pada 9 Ogos 2024 depan, bertempat di Plenary Hall, KLCC.
Penganjur Hitman Solutions dan RockQueen, yang kembali bekerjasama sekali lagi, bersedia untuk berkongsi segalanya dalam satu sidang media eksklusif bersama rakan-rakan media di Restoran Rumah Nusantara, Sunway Putra Hotel pada Rabu petang.
Dalam kenyataan terkini, Encik Rohit Rampal, CEO & Pengasas Hitman Solutions, berkata, kerjasama dengan Ella dan pasukan RockQueen adalah satu pengalaman yang amat mengagumkan.
Baca juga: Dalia Farhana luah rasa kesal menerusi Curang
“Setelah menganjurkan 4 buah konsert ‘Jilid Akhir: Ella Puteri Kota’ tahun lepas, kami masih menerima permintaan yang tinggi dari peminat-peminat Ella untuk menyaksikan Ella beraksi sekali lagi di atas pentas.
“Oleh itu, sebagai tanda penghargaan kami mengambil keputusan untuk berkolaborasi sekali lagi demi mencipta satu lagi konsert yang istimewa buat peminat setia Ella,” ujarnya.
Pada tahun 2017, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Haji Aminuddin, 58, mencipta sejarah sendiri apabila dia pernah mengadakan konsert dalam genre orkestra.
Baca juga: ALYPH hasilkan buah tangan baharu berjudul Dari Jauh
“Saya gabungkan dua perkara yang saya sayangkan, sebuah persembahan yang lebih intim dan meluangkan masa bersama peminat-peminat tersayang.
“JILID ROCKESTRA ELLA kali ini adalah peluang untuk saya terokai gabungan muzik dari album-album saya yang dipersembahkan dalam bentuk yang cukup istimewa iaitu orkestra,” katanya.
Selain itu, konsert tersebut dijangkakan berdurasi sekitar 2 jam 30 minit dengan 25 dendangan lagu, tidak termasuk dengan rangkaian lagu-lagu medley yang telah diubah demi memenuhi permintaan peminat.
Jika terdapat sebarang pertanyaan berkenaan konsert JILID ROCKESTRA ELLA, boleh hubungi talian 012-2655783. — Arena Muzik