TIADA apa yang lebih membanggakan apabila dua penyanyi berbakat iaitu Kat Roshan dan Meer Nash bergabung mewakili Malaysia ke program antarabangsa Sound of the South China Sea (Suara Laut China Selatan) yang diadakan di Sanya, Hainan, China pada 29 Mac lalu.
Memanfaatkan peluang keemasan itu, kedua-dua penyanyi tersebut mempersembahkan lagu tradisional secara berduet berjudul Wau Bulan.
Persembahan yang gah itu bukan sahaja berjaya memukau hati 2 juta penonton di China secara siaran langsung, malah, berjaya menambat hati penonton di Malaysia juga.
Menariknya, program yang dianjurkan oleh Pusat Global Bahasa Mandarin dari Pusat Radio Umum dan Pusat Televisyen China itu turut memberi peluang Meer Nash dan Kat Roshan membuat persembahan yang mana acara itu disiarkan disiarkan melalui saluran CCTV 4.
Kat Roshan yang merupakan artis di bawah naungan syarikat rakaman Universal music berkata, persembahan di atas pentas antarabangsa itu adalah satu pengalaman berharga sekali gus mengukuhkan lagi tapak kerjaya dalam industri muzik.
Baca juga: Konsert solo pertama B.I, sedia ‘HYPE UP’ bersama peminat Malaysia pada Jun depan
“Sejujurnya, saya berasa amat beruntung dan bersyukur diberi peluang keemasan ini untuk mewakili Malaysia bersama Meer Nash.
“Terima kasih Mr Ong Peng Chu kerana memberi peluang untuk kami beraksi dan menunjuk bakat mereka di pentas antarabangsa. pada masa ini adalah pengalaman terbaik dan berharga buat saya bagi mengukuhkan lagi tempat dalam industri muzik,” katanya sambil tersenyum.
Perkongsian mengenai pemilihan lagu Wau Bulan, Kat perlu mendalami serta mempelajari lagu tersebut kerana perlu dinyanyikan dalam loghat Kelantan.
“Pada awalnya untuk saya belajar menyanyi Wau Bulan dalam loghat Kelantan agak sukar, tetapi dengan keazaman dan selepas berkali-kali berlatih, saya tahu saya mampu lakukannya, apatah lagi bila saya tahu saya membawa nama Malaysia, terus saya jadi lebih semangat.
“Saya sangat bangga untuk membawa seni Malaysia ke negara China serta mengharumkan nama Malaysia,” katanya lagi.
Baca juga: The A.C.A.B. imbau nostalgia selepas 18 tahun, bakal gegar Auditorium Muzik Bentley 1 Jun depan
Pada masa sama, Kat juga berpeluang menyanyikan beberapa lagu Cina bersama penyanyi, penerbit, dan ahli muzik terkenal di China seperti Xiao Ke, Ye Pei dan Xiao Juan.
Sementara itu, Meer Nash teruja dapat membuat persembahan di pentas yang hebat.
“Bila saya sampai ke destinasi dan melihat pentas pada pertama kalinya, saya teruja dan terharu kerana lokasi dan ‘set up’ pentas itu amatlah romantik.
“Walaupun saya sudah selalu membuat persembahan di China, tetapi inilah kali pertama saya dapat menyanyi di atas pentas yang secantik ini. Tambahan pula, saya masih lagi setahun jagung dalam bidang menulis lagu, jadi dapat menjadi sebahagian daripada program ini banyak membantu dan mengajar saya,” katanya.
Program itu mengundang ahli muzik dan penyanyi berpengalaman dari China dan Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, dan Singapura untuk bertukar dan berkongsi mengenai muzik dan budaya antara negara-negara Asia Tenggara dan China. — Arena Muzik