SEPERTI ramai penyanyi lain di Malaysia, bintang bersuara hebat Ernie Zakri tidak mahu ketinggalan dalam memeriahkan suasana Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi. Oleh itu, Ernie tampil dengan sebuah lagu raya baharu berjudul HAHAHAHAHari Raya.
Lagu tersebut merupakan ciptaan serta tulisan Ernie Zakri sendiri bersama beberapa komposer dan penulis lirik lain iaitu Mage, Glowrush, dan Ajay Amai, selain, disusun dan diterbitkan oleh Adib Hussin serta Glowrush, lagu yang mempunyai gaya tersendiri.
“Seperti lagu-lagu seniwati Saloma, ia ada nuansa era tahun 1950-an. Unsur ini ditampilkan supaya ada sedikit kelainan dari segi bunyi jika dibandingkan dengan lagu-lagu Raya saya sebelum ini.
“Pada awalnya sudah ada versi yang pendek sekitar dua minit. Kemudian kami mengambil keputusan untuk memanjangkan sedikit lagu ini. Di situ saya tambahkan melodi, khasnya di rangkap bridge kerana ingin menyerlahkan sedikit gaya baharu pada karya ini. Jadi, ada unsur moden juga dan tidaklah seperti lagu Saloma dari era 50-an sepenuhnya,” kata Ernie.
Baca juga: Aisha Retno, Aziz Harun beraya bersama dalam Ketipak Ketipung Raya
Baca juga: The Gadys ungkap perasaan tak dapat balik kampung dalam Cuti Raya
Lagu tersebut turut ditampilkan dengan sebuah video muzik yang dirakam semasa bulan puasa. Ia berkisar tiga orang adik-beradik menjelang hari raya dan Ernie memainkan watak kakak sulung atau Kak Long yang cuba menyatu-padukan dua orang adiknya yang suka bergaduh.
Dalam masa sama, penyanyi berumur 32 tahun itu mengharapkan yang terbaik untuk lagu raya tersebut dan boleh membuatkan pendengar tertawa dan gembira.
HAHAHAHAHari Raya boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 22 Mac 2024, muzik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Ernie Zakri.
Sedikit info, video muzik HAHAHAHAHari Raya turut menampilkan jenama tudung Ernie sendiri iaitu Ayuwan. Sepanjang bulan Ramadhan ini, tudung Ayuwan miliknya sudah muncul di aneka acara termasuk di Star Vendor, KL Convention Centre pada 30 Mac lalu. Ernie juga sempat mempromosikan tudung Ayuwan pada 31 Mac 2024 di Sogo KL semasa mempersembahkan lagu HAHAHAHAHari Raya di lokasi tersebut. — Arena Muzik