KOLABORASI lagu baharu nyanyian Farisha Iris dan kumpulan Cherpen berjudul, Rasa telah diangkat sebagai runut bunyi bagi drama Hati Tercarik Luka di Slot Samarinda TV3.
Diciptakan oleh Syahir Cherpen, Nemo Cherpen dan Kimie Cherpen, lagu tersebut menceritakan tentang luahan perasaan mengenai rasa cinta yang sukar dilepaskan.
Konsepnya sejajar dengan jalan cerita drama Hati Tercarik Luka mengetengahkan percintaan antara dua insan yang berbeza latar belakang.
Baca juga: Kronologi cinta Radi dalam Falling For You
Farisha, 25, pernah menjadi peserta Big Stage 2020 turut teruja untuk bekerjasama dengan Cherpen dalam lagu beralunkan melodi genre Balada tersebut.
“Agak susah merakamkan lagu ini kerana sudah lama tidak menyanyikan lagu yang mencabar vokal. Teknikal dalam vokal mengambil masa untuk saya berlatih yang mana serasi dengan lagu ini.
“Saya sangat gembira dan bersyukur dapat berkolaborasi dengan Cherpen yang juga kumpulan yang saya kagumi sejak dulu. Lagu Rasa sangat menyentuh hati dan sesuai dengan drama yang ditayangkan,” katanya mengukirkan senyuman dibibirnya.
Baca juga: Kembara Nabawi jadi sentuhan rohani Aina Abdul
Dalam masa sama, Cherpen berkata, mereka gembira dapat menyumbangkan nukilan mereka untuk drama Hati Tercarik Luka yang merupakan antara drama popular di Malaysia.
“Kami sangat berterima kasih kepada pihak TV3 dan Seventeen Eleven Music yang memberi kami peluang untuk menyertai projek ini. Kami juga berterima kasih kepada Farisha Iris yang telah menyanyikan lagu ini dengan begitu indah dan berjiwa. Kami berharap lagu Rasa dapat diterima oleh peminat-peminat drama dan muzik di Malaysia,” katanya. — Arena Muzik