KERJAYA sebagai seorang penyanyi bermula selepas menyertai rancangan Keynote di Astro Ria, Nomad kini kembali dengan buah tangan baharu iaitu Mengejar Cinta pada 16 Februari lalu.
Nomad atau nama sebenar Nur Muhammad Alieff Ayub, 36, mengatakan bahawa lagu tersebut menimbulkan satu perasaan yang tidak dapat digambarkan olehnya sendiri selain mengambil masa seketika sebelum memahami sepenuhnya tentang lagu tersebut.
Malah dia juga bersyukur kerana mendapat bimbingan vokal daripada J Ratno, Afif Tirmizi dan Rudy Nastia yang bertindak sebagai penggubah muzik.
“Bila saya dengar semula dan hayati semua liriknya, datang satu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Semuanya bersatu. Perasan sedih, gembira dan bahagia bercampur baur dan membuatkan saya mahu memahaminya dengan lebih mendalam.
Baca juga: Lagu Ayah Ibu debut sulung Amir Sisi
Baca juga: Nikmati simfoni tepi pantai di Festival Muzik Pattaya 2024
“Bila masuk proses rakaman, saya ambil masa selama dua jam untuk memahaminya. Padahal ini merupakan lagu ciptaan saya. Sebenarnya ada perasaan lain dirasai malam berkenaan. Mujur ada guru vokal yang membantu proses berkenaan,” ujarnya.
Menurut Nomad, ia merupakan kali pertama dia berhadapan dengan situasi berkenaan. Perasaan luar biasa yang dihadapi ketika proses rakaman berkenaan membuatkan dia tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku.
Meskipun apa yang tersirat begitu mendalam, Nomad tidak mahu pendengar menjadikan ia sebagai satu perkara yang memberatkan sebaliknya lirik berkenaan juga boleh diadaptasi dalam kehidupan seharian.
Penyanyi yang popular dengan lagu Tetap Menantimu itu, menzahirkan lagu tersebut tentang rindu kepada orang yang sudah tiada dan menjadikan salah satu intipati yang utama dalam bait lirik lagu Mengejar Cinta sekali gus lagu berkenaan sebuah kerinduan serta kenangan yang telah pergi buat selama-lamanya.
Tambahnya lagi, Mengejar Cinta bukanlah sebuah karya yang rumit untuk difahami namun ia kaya dengan maksud tersirat yang mempunyai pelbagai pengertian.
Lagu Mengejar Cinta sudah diluncurkan secara rasmi di semua platform penstriman digital pada 16 Februari yang lalu dan pada masa yang sama, lirik video juga boleh ditonton melalui Youtube Indigital Music. — Arena Muzik