PENYANYI rap dan penulis lagu berbakat besar, Zamaera menghasilkan single baharu berjudul Big Fish yang juga merupakan hasil nukilan Zamaera sendiri bersama penerbit muzik dan DJ asal Kuala Lumpur, Daaliah.
Zamaera atau nama sebenar Sharifah Zamaera Syed Zafilen Al Edros, 29, yang sebelum ini menyertai acara muzik Queendom Festival yang pertama kali diadakan di Malaysia, mengakui teruja apabila berjaya menghasilkan lagu terbabit.
Baginya, pertemu dengan Daaliah itu secara tidak langsung telah menjadi titik tolak kepada lagu tersebut.
“Pertemuan tidak tersangka bersama Daaliah telah menghasilkan sebuah single yang sungguh bermakna buat saya dan menjadikan permulaan 2024 ini dengan penuh makna. Saya berasa seperti seekor ikan yang besar dalam kolam yang kecil.
“Sebenarnya agak sukar bagi saya sebagai seorang pengkarya untuk tampil dengan diri yang asli, menampakkan jiwa saya yang sebenar kerana norma di sini yang agak konservatif.
Baca juga: Irfan Haris selit elemen ketuhanan dalam Syurga
Baca juga: ‘Dayungan’ Sampan Mimpi Amira Othman
“Saya seorang yang berfikiran terbuka, berani dan tidak mudah gentar jadi saya percaya saya akan lebih berkembang dalam kerjaya jika keluar dari zon selesa iaitu negara tersendiri dan lagu ini merupakan pengenalan buat saya sebagai artis ‘independent’ yang berusaha keluar dari ruangan selesa tersebut,” jelasnya sambil tersenyum lebar.
Pelantun lagu Kill My Vibe dan Dulu itu mengakui kerjaya seninya lebih sibuk berbanding sebelum ini, selain banyak memberi fokus dalam menjayakan festival muzik wanita, Queendom Festival dan bekerjasama dengan Tong Tong Asia serta Jln Hackman.
“Festival itu banyak membuka mata dan juga peluang, saya bersyukur menjadi penerima Dana Kandungan Digital melalui My Creative Ventures di bawah Kementerian Komunikasi & Digital.
“Ini merupakan projek pertama saya sebagai penganjur acara dan secara keseluruhannya, ia adalah kemenangan besar dan kami telah berjaya dalam menaikkan dan menyokong kalangan wanita kreatif. Walaupun ia jauh dari sempurna dan banyak pengajaran telah dipelajari sepanjang perjalanan, sejujurnya saya merasakan ia pastinya salah satu pengalaman terbaik yang saya alami dalam hidup setakat ini,” katanya lagi.
Kepada peminat yang menantikan genre rap lagu kolaborasi Zamaera dan Daaliah, Big Fish boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar mulai 16 Februari nanti melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music, manakala MV boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Zamaera. — Arena Muzik