“Gugusan hari hari, indah bersamamu, Kamelia. Bangkitkan kembali, rinduku mengajakku ke sana.”
Bait lagu yang mula diputarkan di corong radio sejak 1980-an itu sehingga kini masih kedengaran segar meskipun usianya sudah menjangkau lebih empat dasawarsa.
Bukan sahaja golongan warga senja, malah konsert kumpulan Sweet Charity, Semalam di Malaya 5 Dekad di Zepp Kuala Lumpur (Zepp KL), Jumaat lalu turut dibanjiri dengan peminat muda yang secara mata kasar boleh dikategorikan lingkungan usia 20-an.
Memukau lebih 3,000 penonton, persembahan yang dikepalai oleh Datuk Ramli Sarip itu mengimbau semula nostalgia, kotak memori penonton sementelah kali terakhir mereka muncul di atas pentas berskala mega sekitar 13 tahun lalu.
Panggung dibuka dengan aura bertenaga dan suara ‘jantan padu’ oleh penyanyi otai yang terkenal dengan gelaran Papa Rock saat mendendangkan lagu Hilang Gelap Terbitlah Terang, Tahun 2000, Pelarian dan Sejuta Wajah.
Bukan sahaja suara beliau yang kedengaran sama dari dulu sehingga sekarang, tetapi penyanyi berusia 71 tahun itu jelas memukau setiap penonton yang hadir dengan sehingga berasa seperti berjalan dalam terowong masa, mengimbau semula kenangan dan zaman kegemilangan setiap karya dihasilkan.
Katanya, beliau meluahkan rasa syukur apabila nukilan kumpulan Sweet Charity masih menjadi pilihan halwa telinga peminat tanpa mengira tangga usia.
“Saya berasa sangat bangga dan berterima kasih kerana peminat masih setia menyokong kami. Bila orang sebut Sweet Charity, orang ingat Papa Rock dan anggota kumpulan yang lain.
“Peluang yang diberikan kepada kami amatlah besar untuk mengadakan konsert ini dan setelah beberapa tahun berpisah dan masing-masing mempunyai kerjaya solo sendiri, disini kami dapat bersatu dan memberikan yang terbaik buat semua yang hadir di Zepp KL,” katanya.
Baca juga: Megan Thee Stallion luah perasaan dalam Hiss
Baca juga: Elijah Woods pilih rantau Asia bagi konsert jelajah ‘ILU 24/7:365’ tahun ini
Rentak lagu yang rancak dengan suara lunak Ramli telah menghanyutkan penonton dengan setiap bait lirik yang mempunyai makna mendalam dalam setiap lagu dipersembahkan.
Menariknya, malam yang penuh sejarah itu diserikan lagi dengan persembahan gitar solo oleh Rosli Mohalim selaku pemain gitar utama kumpulan tersebut.
Pemuja Sweet Charity dan peminat filem genre muzikal arahan Allahyarham Mamat Khalid dalam ‘koleksi filem’ Rock, tentu mengenali dengan figura hebat, Rosli Mohalim yang terkenal dengan kemahiran ‘goreng’ gitar, selain boleh diletakkan setaraf dengan bintang terkenal dunia, Slash.
Selain itu, konsert diteruskan dengan dendangan lagu Zakiah sekali gus mengeluarkan gelombang sorakan dalam kalangan penonton.
Ramli turut menyampaikan kata-kata pujangga yang membawa maksud penceritaan di sebalik setiap lagu serta menyentuh pelusuk hati penonton yang hadir.
Sebanyak 22 buah lagu yang dipersembahkan termasuk lagu-lagu hit terbaik seperti Batu, Kamelia, Teratai dan Zakiah.
Konsert yang dianjurkan oleh Malaysia Shipowner’s Association itu diakhiri dengan persembahan lagu Teratai dirasakan bagai tidak puas sementelah persembahan tersebut hanya berlangsung sekitar lebih dua jam.
Tanpa sedar, masa ibarat berlari pantas apabila permsebahan yang bermula pada pukul 8 malam itu, dirasakan singkat apabila tanpa sedar, jarum jam mula menginjak ke 11 malam.
Secara keseluiruhan, kumpulan rock popular itu perlu kembali ‘bertakhta’ di atas pentas kerana ternyata mereka memiliki peterana tersendiri lebih-lebih lagi apabila ribuan peminat turut menyanyikan bersama setiap lagu popular mereka. — Arena Muzik