Penyanyi, Datuk Hattan mengumumkan akan meninggalkan kerjaya nyanyian sekali gus bersara daripada dunia seni hiburan tanah air.
Kata Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 59, perkara itu dibuat kerana ingin memberi ruang kepada diri sendiri untuk berehat sekali gus menikmati kehidupan memandangkan usianya kini semakin meningkat.
“Saya rasa dah sampai masanya untuk saya bersara dari industri seni dan menikmati hari tua saya dengan perkara lain.
“Impian saya dah tercapai iaitu untuk bersama sepentas dengan sifu saya Datuk M. Nasir sewaktu saya mengakhiri karier saya sebagai seorang penyanyi,” katanya pada Isnin.
Dalam pada itu, sebelum meletakkan titik noktah pada kerjaya, pelantun lagu Rendang Tak Berbuah itu bakal mengadakan persembahan dengan idola beliau iaitu M.Nasir menerusi Konsert Sifu Dan Aku.
Konsert yang dijadualkan berlangsung di Sabah International Convention Center (SICC) pada 3 Februari depan bakal menjadi konsert kedua terakhir sebelum beliau mengundurkan diri.
Untuk info, konsert Sifu Dan Aku ini dianjurkan oleh Ochee Purnama Sdn Bhd dan HS Shazlicious Trading dengan kerjasama Borneo Excursions dan Angkatan Hebat Group. — Arena Muzik