PENYANYI tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyambut ulang tahun kelahirannya dengan cara berbeza pada tahun ini iaitu berangkat ke Tanah Suci bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, dua anaknya, ibu dan ibu mentua selain turut disertai oleh ahli rombongan CTDK dan Yayasan Nurjiwa.
Kata pelantun lagu, Aku Bidadari Syurgamu itu, beliau gembira apabila berpeluang untuk menunaikan umrah selain dianggap itu sebagai rezeki buatnya menjejakkan kaki di Tanah Suci pada hari istimewa itu.
“Tujuan kali ini sebab niat saya untuk menyambut hari lahir dan bawa keluarga ke sana. Alhamdulillah, kalau dapat pergi umrah atau mengerjakan haji lebih daripada sekali, itu adalah rezeki.
“Apa-apa pun semuanya dengan panggilan Allah. Kalau tidak dipanggil untuk jadi tetamu-Nya, tidak akan sampai juga,” katanya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu turut terharu dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang telah memberi kejutan sempena ulang tahun kelahirannya.
“Terima kasih saya ucapkan buat semua yang memberikan kejutan ini dengan persiapan kek yang begitu cantik dan yang hadir pada hari ini. Saya memohon agar diberikan kesihatan yang baik supaya bila kita sihat, kita boleh membantu orang dan melunaskan kerja yang kita inginkan,” katanya.
Untuk info, konsert Epitome itu akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 9 Mac depan. — Arena Muzik