KONSERT A Night with Alif Satar dan The Locos yang berlangsung penuh bertenaga pada Ahad lalu jelas tidak menghampakan peminat lebih 2,000 penonton yang hadir bagi menyaksikan penghibur serba boleh itu.
Tidak hanya berteraskan hiburan semata-mata, malah acara yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur (Zepp KL) itu turut menyaksikan kemunculan kumpulan nasyid popular, Raihan sebagai bintang istimewa.
Selain mereka, kemunculan penyanyi popular dari negara seberang, Anggi Marito dengan lagu hit, Tak Segampang Itu menghayutkan penonton.
Bukan sahaja melodi, malah kelunakan suaranya juga membuatkan penonton asyik dan terbuai-buai perasaan.
Penyanyi kecil molek itu turut mencatat sejarah apabila pertama kali membuat persembahan di Malaysia.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kalian yang menyambut baik persembahan saya ini,” katanya ringkas usai persembahan.
Sementara itu, konsert itu bukan sekadar acara hiburan biasa apabila pihak penganjur memberi ruang kepada penonton untuk menunaikan solat Isyak selain memancarkan video azan di layar lebar.
Baca juga: Hadiah Melly Goeslow untuk peminat Malaysia 1 Jun depan
Baca juga: Shaa kembali mempetaruhkan Kau Bukan Milikku
Setelah selesai, persembahan kemudian diterukan dengan kemunculan Alif yang menghidangkan beberapa lagu popularnya seperti Akhiri Penantianku, Kamu Jangan Nakal dan Seungguhnya Aku.
Dalam pada itu, Raihan turut tidak kurang hebatnya apabila mendendangkan lagu berbentuk kerohanian seperti Sesungguhnya, Iman Mutiara dan Puji Pujian x Syukur.
Untaian lagu tersebut secara tidak langsung mengembalikan semula era kegemilangan lagu berbentuk kerohanian yang suatu ketika dahulu pernah mendominasi carta muzik tempatan.
Dalam pada itu, Alif juga sempat memberikan pesanan serta nasihat kepada semua peminat yang hadir tentang memperbaiki diri ke arah yang lebih baik menjamin masa depan yang reda oleh Allah SWT.
“Kepada yang hadir pada hari ini, terima kasih diucapkan kerana sentiasa menyokong kami. Jangan lupa untuk menjaga solat dan yang paling penting lepas ni kita solat subuh sama sama,” katanya sambil berseloroh.
Malam yang menjadi ingatan buat semua peminat, Alif melabuhkan tirai dengan lagu yang menjadi fenomena pada tahun 2011 iaitu Lelaki Seperti Aku.
Untuk info, konsert tersebut dianjurkan oleh Mutiara Optimum dan MND Sport & Event. — Arena Muzik