PEMINAT di negeri Pantai Timur pastinya tidak sabar menantikan kemunculan kumpulan popular asal Indonesia, Ungu yang akan membuat persembahan di Stadium Darul Makmur, Pahang sempena Pesta Muzik Kuantan pada 24 Februari depan.
Acara istimewa itu diadakan sempena meraikan kepulangan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah yang bakal menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Selaku vokalis, Pasha pasti teruja dan menganggap peluang membuat persembahan itu sebagai satu penghargaan buat dirinya.
“Terima kasih. Saya bersyukur dengan peluang ini, sejujurnya kami berasa sangat bangga dan teruja apatah lagi membuat persembahan sempena menyambut kepulangan baginda ke Pahang.
“Ini juga dianggap sebagai penghormatan dan menjadi pengalaman pertama menghiburkan peminat Kuantan bersama barisan artis lain,” katanya ketika Pelancaran Sidang Media Pesta Muzik Kuantan baru-baru ini.
Baca juga: Naim Daniel bakal lancar lagu duet dengan Jamal Abdillah
Baca juga: Ara Johari tunggu masa sesuai lancar lagu baharu
Menurut penganjur, Pengarah Syarikat Showpro Entertainment, Datuk Dr Siva Nair, pihaknya sangat berbesar hati dalam menganjurkan Pesta Muzik Kuantan yang menghimpunkan nama besar dalam industri seni tanah air.
”Selepas berbincang, Kuantan memerlukan sesuatu untuk menarik minat anak muda dan keraian ini tidak akan lengkap tanpa bintang jemputan terutama kumpulan Ungu yang memang sangat popular di Malaysia.
”Ungu juga tidak pernah mengadakan persembahan di Stadium Darul Makmur secara khusus, maka ia adalah peluang terbaik untuk rakyat jelata negeri Pahang dan dari Pantai Timur datang ke sini menyaksikan persembahan kumpulan ini,” katanya kepada Arena Muzik.
Selain dimeriahkan dengan Ungu, beberapa artis lain antaranya Naim Daniel, Khai Bahar, Ara Johari, Nabila Razali, Eda Ezrin dan Den Manjo turut akan membuat persembahan.
Tiket dijual pada harga RM58 (Sejauh Mungkin), RM88 (Demi Waktu), RM98 (Cinta Dalam Hati), RM118 (Seperti Yang Dulu & Kekasih Gelapku), RM128 (Gegar), RM388 (VIP B & Duduk Bebas), RM448 (VIP A – Duduk Bebas) dan RM628 (MIP – Tempat duduk bernombor).
Layari www.ticket2u.com atau hubungi 012 268 2700 (Puan Haniah Hassan) dan hotline bernombor 012 488 6225 untuk membuat pembelian tiket. — Arena Muzik