KUMPULAN yang bakal membuat persembahan pada 22 Disember depan di Arena Mega Star, Kuala Lumpur mengakui teruja untuk mendendangkan 25 lagu mereka dengan diiringi pemuzik orkestra.
Susunan muzik baharu turut diberikan bagi mewujudkan unsur ‘misteri’ dan istimewa kepada lebih 3,000 penonton yang dijangka hadir ke konsert tersebut.
Jelas Ajai yang juga anggota kumpulan Exist, susunan muzik baharu itu dibuat bagi memberikan kesesuaian dengan elemen orkestra itu nanti.
“Susunan muzik kita sudah lakukan lebih awal dan berikan kepada mereka (pemuzik orkestra).
“Jadi tidak ada banyak masalah untuk bertukar pendapat. Paling penting kepuasan peminat yang akan datang nanti,” katanya kepada Arena Muzik.
Baca juga: The Beatles: Empat lelaki yang menakluk dunia
Baca juga: Muzik orkestra hidupkan luahan galau Afgan
Bahkan konsert tersebut turut memperlihatkan kemunculan vokalis kumpulan, Mamat dan Ezad Lazim yang tentu sahaja menjadi kegilaan peminat.
Menurut Pengarah Muzik Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd Isa Ismail, berkata, Exist menjadi band sulung bekerjasama dengan mereka.
Katanya, selaku pemuzik profesional, kumpulan terbabit tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama.
“Mereka kumpulan yang sudah biasa membuat persembahan dan tahu apa yang diinginkan. Jadi, tidak mempunyai banyak kesukaran kerana mereka juga mudah untuk diajak berbincang.
“Dianggarkan seramai 30 pemuzik orkestra akan mengiringi persembahan itu nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan Exist bersama Orkestra DBKL baru-baru ini.
Dalam persembahan tersebut, Exist dijangka akan mendendangkan lagu popular mereka antaranya Alasanmu, Jesnita dan Rahsia Pohon Cemara. — Arena Muzik