PENYANYI yang dahulunya pernah popular dengan genre muzik Hip Hop, dan kini sudah beralih arah kepada irama Balada dan R&B, Lah Ahmad muncul dengan lagu baharu bertajuk Alhumaira.
Single baharu yang dihasilkan oleh penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun menceritakan tentang hubungan cinta romantik antara pasangan yang penuh dengan perasaan kasih sayang.
Tidak dinafikan lagu tersebut merupakan taruhan baharu Hafiz Hamidun buat yang ingin mencuba sentuhan muzik berbeza.
Malah, dia sendiri mengakui lagu tersebut sememangnya diciptakan untuk Lah Ahmad sejak dari awal proses pembikinan.
“Saya dapat ilham menghasilkan lagu ini ketika selesai solat Jumaat. Saya menuliskan liriknya kemudian menyempurnakan lagu tersebut.
“Sejak awal lagi saya memang sudah memikirkan untuk menghasilkan lagu tersebut buat Lah Ahmad kerana pada saya, melodi dan cara penyampaian sesuai dengannya,” katanya ketika ditemui Arena Muzik ketika Majlis Pelancanran Lagu Alhumaira di ibu kota, baru-baru ini.
Baca juga: Tango serlah sisi berbeza Amir Hasan
Baca juga: 2 kali gagal dalam perkahwinan, Nash ingin wanita menua bersama
Dalam pada itu, Lah Ahmad turut meluahkan rasa bangga dan terharu apabila lagu tersebut dihasilkan secara peribadi untuknya.
Ujarnya, sebaik sahaja mendengar lagu tersebut, dia sudah ‘jatuh cinta’ dan tidak mempunyai masalah sepanjang proses rakaman dibuat.
“Apabila Hafiz mengirimkan demo Alhumaira, saya dapat merasakan kekuatan melodi lagu ini dan sangat dekat dengan perasaan saya.
“Setelah berbincang melalui pihak pengurusan saya dan Hafiz, kami bersetuju untuk merakamkan lagu ini.
“Sesi rakaman berlangsung pada pertengahan bulan Oktober lalu bersamaan dua minggu selepas Konsert Jatuh Cinta di Istana Budaya berlangsung,” katanya.
Mengulas mengenai lirik lagu tersebut, Lah Ahmad memberitahu, Alhumaira dirasakan sangat istimewa dan dekat dengannya.
Katanya, secara peribadi, dia bukanlah seorang pasangan yang suka meluahkan kata-kata cinta apatah lagi berlagak ‘romeo’ depan isteri.
“Saya bukanlah hari-hari bercakap saya cintakan awak. Saya lebih kepada bertanyakan tentang, mahu makan apa hari ini? Hari ini kita mahu berjalan ke mana? Apa kelengkapan atau barangan rumah yang tidak cukup?
“Jadi dengan lagu ini secara tidak langsung dapat membantu saya untuk memberitahu kepada pasangan dan juga anak-anak tentang kasih sayang seorang lelaki kepada wanita dicintainya.
“Sebagai suami, lagu ini begitu istimewa jika disampaikan untuk isteri tersayang kerana pada saya kelembutan seorang wanita itu akan dikuatkan oleh janji dan setia seorang suami.
“Sejujurnya saya suka membuat persembahan di acara perkahwinan dan diharapkan lagu ini sesuai untuk didendangkan di acara sebegitu nanti,” ujarnya.
Lagu tersebut boleh mula didengar di semua platform digital antaranya Spotify dan Apple Music bermula 24 November lalu termasuk lirik video Alhumaira di YouTube
Alhumaira diterbitkan oleh Arteffects dan diedarkan oleh Sony Music Entertainment. — Arena Muzik