ANGGOTA kumpulan Inteam berjanji akan menjaga keluarga Suhaimi Saad terutama anak-anak Allahyarham yang masih di bangku sekolah.
Anggotanya, Muhammad Hazamin Harun berkata, biarpun Suhaimi sudah meninggalkan kumpulan itu sejak 2005, namun sudah menjadi tanggungjawab ahli kumpulan itu untuk mengambil berat mengenai keluarga sahabatnya.
“Saya lihat isteri serta anak-anaknya sangat kuat. Ayah Ina pun maklum perkara sama, mereka sangat tabah menempuhi fasa baharu selepas ketiadaan Suhaimi.
“Mungkin mereka sudah dididik oleh arwah sebelum itu atau terbiasa dengan keadaan arwah yang diuji sakit sebelum ini. Sebagai sahabat, kami anggota Inteam akan cuba membantu keperluan anak-anak arwah.
“Sudah menjadi tanggungjawab kami untuk turut sama membantu. Kawan-kawan pun ada yang kirim bantuan menerusi Munsyid Malaysia.
“Sebelum ini pun kami ada lakukan perkara yang sama, buat kutipan duit untuk disumbangkan kepada arwah. Ini kerana empat bulan sebelum itu pun arwah tak dapat bekerja kerana sakit,” katanya lapor Harian Metro.
Baca juga: Bakal jadi ‘isteri orang’ BCL tidak lagi guna nama Sinclair
Baca juga: Ceritera ‘kasih sayang’ Hafiz Suip dalam Terus Bersinar
Menurut Hazamin, dia sempat menziarahi rakannya ketika arwah sedang sakit, namun tidak berkesempatan menguruskan jenazah arwah kerana berada di Tanah Suci ketika itu.
“Sebelum dia meninggal, saya sempat menziarahinya dan ketika itu dia masih boleh bercakap lagi. Waktu itu berat badannya tak sampai 50 kilogram, hampir menitik air mata saya melihat keadaannya yang kurus.
“Saya masih ingat dia cakap jangan menangis nanti dia menangis juga. Selepas seminggu, saya pergi umrah dan dapat berita dia masuk Unit Rawatan Rapi ( ICU).
“Waktu di Makkah saya terima perkhabaran Suhaimi sudah meninggal dunia. Rasa terkilan tak dapat berada di sisinya walaupun saya beberapa kali sempat menziarahinya sebelum itu,” katanya.
Allahyarham Suhaimi disahkan meninggal dunia pada 15 November lalu di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Sebelum itu, media melaporkan Suhaimi terpaksa ditidurkan dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.
Allahyarham dikatakan mengalami jangkitan hingga berlaku kegagalan organ dalaman akibat batuk kronik dialami sejak empat bulan lalu dan cirit-birit selama tiga bulan sehingga berat badannya turun mendadak. — Arena Muzik