PENGARAH Projek Mission Sight Sdn Bhd, Riezman Khuzaimi masih lagi ‘menggantung’ Konsert Goyang Asia untuk kali ketiga kerana menghormati situasi semasa yang berlaku di Palestin ketika ini.
Riezman berkata, dia juga tidak mahu kecaman netizen terus menerus menambah dosa kepada mereka.
“Kali ini, ia ditunda untuk menghormati situasi yang berlaku di Palestin. Jadi, kami tunda konsert ini tanpa sebarang tarikh lagi sebab kita pun tak tahu, sampai bila ia akan berterusan.
“Saya tak sanggup redah sebab tak sanggup dikecam. Saya tak ‘koyak’, tapi cukuplah. Kalau netizen Malaysia mendengar, saya nak cakap, saya tak larat melihat mereka menanggung dosa,” katanya.
Riezman berkata, konsert itu bagaimanapun akan diteruskan apabila situasi semasa kembali reda.
“Artis-artis pun turut ‘pening’ memandangkan masing-masing ada tarikh dan jadual kerja mereka. Jadi, agak sukar untuk kami susun jadual, namun tak mengapa. Pada masa sama, kita hormati situasi semasa dan jangan ada hiburan yang berlebihan.
“Satu lagi adalah mengenai kecaman netizen yang dah tahap ‘gaban’. Dah terlalu melampau kecaman mereka itu. Jadi, saya rasa, biarlah keadaan reda terlebih dulu.
Baca juga: Ceritera ‘kasih sayang’ Hafiz Suip dalam Terus Bersinar
Baca juga: Radja harap penderitaan rakyat Palestin segera berakhir
“Benda ini sudah dimulakan, jadi tak nak berhenti. Duit pun dah ‘keluar’. Dapat jual tiket atau tak, kita tetap nak selesaikan konsert itu. Kalau benda lain, saya boleh langgar. Tapi, untuk situasi Palestin, memang saya sendiri tak sanggup nak langgar,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Ditanya sama ada pihaknya selaku penganjur menimbang tara keputusan untuk membatalkan terus konsert itu, Riezman berkata, banyak perkara perlu dipertimbangkan kerana kerugian akan mencecah hampir RM500,000.
“Ramai yang cadangkan supaya batalkan. Memang boleh batalkan, tapi ia bukan membabitkan saya seorang, tetapi saya juga bekerja dengan rakan kongsi. Jadic mungkin kalau dibatalkan, ia akan turut membabitkan kewangan.
“Kalau rakan kongsi tak setuju, kita kena ambil kira juga. Sebagai rakan kongsi, saya harapkan mungkin boleh fikirkan sekiranya ada kerugian, Insya-Allah, ada cara lain kita boleh fikirkan untuk cari semula.
“Kita dah bayar (deposit) semua artis yang terbabit untuk ‘lock’ jadual mereka. Jadi, kalau batal, memang semua bayaran itu hangus. Dan kalau batal, kerugian akan mencecah hampir RM500,000,” katanya.
Terbaharu, Riezman kini membintangi filem seram komedi berjudul Syif Malam arahan Fairus Anuar dan turut menampilkan lakonan Anas Ridzuan, Taqim Zaki, Shah Kimin, Zera Hariz dan ramai lagi. – Arena Muzik