Nasib penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman sama ada dibebaskan atau disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan dadah akan diputuskan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Rabu.
Hakim, Faiz Dziyauddin akan membacakan keputusan di akhir kes pembelaan itu, pada pukul 2 petang.
Ketika prosiding bela diri, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu diwakili peguam, Ariff Azami Hussein manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin.
Memetik laporan Sinar Harian, pada 6 Julai tahun lalu, bapa kepada dua anak ini bernasib baik kerana tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.
Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Sekiranya mahkamah mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah, Muhammad Yasin, 48, akan dilepas dan dibebaskan serta-merta.
Ini akan memberi peluang kepada ahli keluarganya untuk menunaikan hasrat, agar Muhammad Yasin dapat meneruskan rawatan bagi penyakit ‘bipolar disorder’ dan ‘hyperthyroidism’ di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Bagaimanapun, jika mahkamah berpendirian sebaliknya, lelaki itu berdepan hukuman mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 6B(3) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun hingga seumur hidup, tidak kurang enam sebatan atau denda tidak lebih RM5,000.
Pada 3 Oktober lalu, Muhammad Yasin diarah membela diri atas tiga kes dadah selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes mereka.
Setelah diberi tiga pilihan untuk membela diri, dia memilih untuk berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan.
Pembelaan kemudiannya memanggil satu-satunya saksi pembelaan mereka, iaitu Pakar Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony.
Sementara ketika di peringkat pendakwaan yang bermula 28 Ogos lalu, tujuh saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan terhadap Muhammad Yasin. – Arena Muzik