PENYANYI popular yang juga Juara Akademi Fantasia musim tujuh (AF7) muncul dengan single baharu bertajuk Terus Bersinar yang tentu sahaja akan membuat halwa telinga pendengar terbuai-buai dengan emosi.
Lagu tersebut dihasilkan oleh Mas Dewangga dan Jova Devito sementara lirik pula tulisan Datuk Arisz Ab Rahman JP, Mas Dewangga bersama Jova Devito sekali gus menjadi kerjasama pertama Hafiz bersama mereka.
Menurut Hafiz, lagu Terus Bersinar menggambarkan tentang perasaan hubungan kekeluargaan dan kehidupan yang sememangnya ‘ramuan rahsia’ dalam setiap karya selain digunakan oleh Hafiz dalam penghasilkan lagunya.
“Daripada hubungan bersama bapa, adik-beradik, suami isteri hingga kekasih, mesej yang diketengahkan menerusi lagu yang dihasilkan cukup menyentuh hati.
“Sepanjang kerjaya, saya sudah merakamkan lagu yang menceritakan mengenai lumrah kehidupan yang semua orang lalui. Contohnya, lirik lagu Matahari mengisahkan hubungan kesusahan adik-beradik.
“Lagu Awan Nano pula menceritakan pengorbanan seorang ayah manakala lagu Kisah Cinta Kita adalah terjemahan kasih sayang antara suami dan isteri. “Jadi, untuk lagu Terus Bersinar ini, mesej yang ingin disampaikan pula adalah mengenai anak,” katanya.
Baca juga: ‘Lautan putih’ penuhi Zepp KL rai Opick & Sakti
Baca juga: Atilia luah rasa dalam Cinta Sampai Mati
Boleh dikatakan, dalam jalur kerjaya Hafiz, setiap lagu ada jalan ceritanya tersendiri dan semua lagu itu juga mempunyai kisah kehidupan yang mempunyai mesej.
Berkongsi lanjut mengenai lagu, Hafiz berkata, dia terus jatuh cinta dengan lagu tersebut ketika kali pertama mendengar melodiya.
“Mas Dewangga seorang komposer yang bagus di mana bila saya dengar karya dihasilkan semuanya segar dan memang trend masa kini. Lagu balada yang dihasilkan diberi sentuhan yang membuatkan lagu itu bertambah sedap didengar.
“Macam sekarang, peminat suka dengan lagu-lagu balada dari Indonesia. Jadi, apa saya perasan, karya Mas Dewangga pun ada sentuhan bunyi itu. Kebetulan saya pun suka,” katanya.
Selain bersifat peribadi, tapi Hafiz cuba menyelami perasaan semua terhadap insan yang dicintai.
“Lagu ini masih lagi genre balada. Cuma ada sedikit sentuhan alat muzik tradisional Sarawak iaitu Sape, pada penghujung lagu.
“Masa pemilihan lagu dibuat, saya dengar lagu ni memang terus tertarik dengan melodi dan lirik. Itu yang membuatkan saya terus bersetuju untuk rakamkan sebagai single terbaru,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hafiz mengharapkan agar pendengar dapat menerima baik lagu tersebut sekali gus menonton muzi video lagu tersebut di YouTube yang kini sudah mendapat hampir 100,000 tontonan. – Arena Muzik