SELEPAS lapan tahun tidak bersua, kumpulan popular Indonesia, Ungu bakal menunaikan hasrat warga Sabah menerusi Konsert Ungu Di Bawah Bayu yang akan diadakan di Pusat Teknologi dan Komersial Penampang (ITCC), Penampang pada 25 November ini.
Vokalisnya, Pasha atau nama sebenar Sigit Purnomo Syamsuddin Said menyatakan kerinduan kumpulan itu untuk mengadakan persembahan di Sabah.
“Sudah cukup lama Ungu tidak membuat persembahan di Sabah. Kali terakhir pada 2015, hampir 10 tahun. Kita sudah rindu dengan Sabah.
“Konsert kali ini bukan sekadar konsert tetapi nostalgia. Jadi kami akan bawa lagu apa warga Sabah suka, lagu apa yang anda mahu, kami akan bawakan lagu itu.
“Ini bukan persoalan apa lagu yang kami mahu bawa, tetapi apa yang rakan-rakan di Sabah mahu dengar di sana, kerana karya ini untuk anda,” katanya.
Katanya, lagu yang baru diterbitkan sebelum ini juga mungkin boleh disenaraikan dalam permintaan lagu yang akan didendangkan pada konsert itu nanti.
Baca juga; Universal Music Malaysia yakin UMG bersifat natural dan mahu keamanan
Baca juga: Netizen puji, Adele menyanyi sambil pegang bendera Palestin
“Ada lagu yang sudah diterbitkan seperti Dasar Hati, Bisa Gila, kalau lagu baru yang mahu didengarkan boleh juga senaraikan dan kita akan nyanyikan,” katanya.
Ditanya jangkaan Ungu pada konsert kali ini selepas kejayaan di Singapura, Pasha mengakui agak teruja untuk memberikan persembahan yang terbaik dalam konsert di Sabah.
“Kita sudah tidak sabar kerana konsert di Sabah antara yang ditunggu-tunggu oleh pencinta Ungu dan ia akan berlangsung pada 25 November ini,” katanya.
Sementara itu, selaku penganjur konsert Jeeharris Corporation, Harris Baba berkata, mungkin pihaknya akan meminta peminat senaraikan lagu daripada ungu menerusi media sosial nanti.
“Jeeharris akan membuat hantaran di media sosial, mungkin kita boleh tanya pada pengikut di media sosial apa lagu yang akan dinyanyikan dan kita akan senaraikan nanti.
“Lagu-lagu mereka seperti Tercipta Untukku, Demi Waktu serta Andaiku Tahu sudah menjadi sebahagian dalam nada kehidupan dan menjadi siulan peminat Ungu sehingga ke hari ini dan ia bakal didendangkan buat peminat yang menanti kehadiran Ungu,” katanya. – Sinar Harian