SEPERTI dijanjikan kepada peminat-peminatnya, satu pesta keramaian muzik Melayu yang sarat makna dan menghiburkan akan disajikan. Tidak akan kecewa tetapi pulang dengan penuh kenangan dan kepuasan.
Tiga jam berlalu tanpa sedar. Alunan suara dan muzik dalam Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 18 November lalu, masih terngiang-ngiang di telinga.
Konsert Gendang Pati membuktikan seniman Datuk M.Nasir dan muziknya mempunyai kelas tersendiri dan tidak mungkin akan ada penggantinya.
Lebih 2,800 penonton yang memenuhi dewan pada malam Sabtu itu dibawa ke satu daerah yang menjanjikan kelainan.
Kemunculan ‘burung Phoenix’ ditengah pentas memberi tanda bahawa satu perjalanan seni yang memukau bakal disajikan. Dengan busana hijua, seniman berusia 66 tahun itu membuka pentas dengan lagu Phoenix Bangkit dan Semakin Nyata.
“Apa khabar semua?, betul ni tak menyesal ke tak pergi ke konsert Aina Abdul. Saya pun dah siapkan pakaian ni”, sapa M.Nasir kepada khalayak.
”Jangan berasa terasing. Saya akan bawa anda ke Pulau Kencana,” sambung beliau lantas menyambung persembahan dengan lagu Inang Pulau Kencana.
Konsert diteruskan dengan lagu Secangkir Kopi Semanis Puan yang sarat dengan elemen genre muzik sunda dan jawa yang kemudiannya disusuli dengan lagu Bila Rumi Menari.
Penonton yang sedari awal duduk di bangku terus di kejutkan dengan lagu Tanya Sama Hud Hud yang secara automatik membawa khlayak berdiri, bernyanyi bersama lagu yang seakan sudah sebati dalam diri masing-masing.
Lebih istimewa adalah persembahan lagu Bagaikan Sakti yang menampilkan kumpulan koir terdiri daripada 25 orang murid dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet, Ipoh, Perak iaitu Sam Tet Voices. Kumpulan ini pernah mencipta kejayaan pada World Choir Games 2023.
“Saya tertarik dengan persembahan mereka setelah menyaksikan persembahan mereka di Terengganu dalam sebuah pertandingan ‘koir’, dimana mereka telah menjadi juara”, ujar M. Nasir.
Melalui persembahan lagu-lagunya yang telah menjadi warisan seni, penonton dibawa merentasi zaman, mengingati kenangan lama dan merayakan keabadian muzik. Satu persembahan yang tidak hanya memenuhi telinga, tetapi juga menyentuh hati dengan lirik yang kaya makna.
Segmen lagu-lagu popular yang dihasilkan oleh M.Nasir untuk artis-artis tempatan juga cukup memberi kesan kepada penonton dan ‘menarik’ khalayak kembali ke tahun 80-an. Antara lagu-lagu yang menjadi pilihan adalah Gadisku (search), Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi (Alleycats), Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon), Tiara (Kris), Fantasia Bulan Madu (Search), Hukum Karma (Wings) dan Pawana (Search).
Antara alunan suara dan muzik, penonton mengalami satu persembahan yang lebih daripada sekadar konsert; ia adalah persembahan seni yang mewakili keindahan dan kedalaman jiwa manusia.
M.Nasir menutup konsert dengan mengajak penonton agar tidak melupakan kesengsaraan yang dihadapi penduduk Gaza, lagu Masirah didendangkan. Doa qunut nazilah serta bacaan puisi ‘Thaurah Palestin’ karya Datuk Dr Usman Awang yang telah di deklamasikan oleh Amerul Affendi sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin di penghujung konsert. – Arena Muzik