Apabila seni jari, tali dan hati bereksperimentasi, maka terciptalah sebuah malam yang penuh emosi. Itulah yang saya rasakan sendiri, bukan basa basi. Eksplorasi pada setiap note, setiap tone, setiap vibrato, setiap arpeggio dan setiap legato, diluahkan sebaik-baiknya oleh 7 maestro ‘ReMiFaSoLaTiDo’, cetusan idea peringkat tertinggi Jo Branko. Yang tidak pernah, itu yang diterjah supaya jadi sejarah. Dan malam 3 November menjadi saksi kejayaan Seni Gitar Harmoni yang di luar imaginasi.
Kolaborasi pertama kali, muafakat berkongsi dan berkomunikasi melalui tali dan jari, sampai terus direct ke hati. Ya, memang betul sampai. Meski bukan semua yang datang adalah musisi, namun semuanya meraikan seni dengan penuh apresiasi, itu yang pasti.
Jam sudah menunjukkan 9 malam, sejumlah lebih 2,000 mata tertumpu tepat ke atas pentas, ternanti-nanti dengan gelisah hati. Awal pagi hari yang sama dikejutkan dengan berita sedih. Pemergian mendadak adik kandung kepada Jo Branko, dijemput Ilahi di pangkuan nya sendiri pada jam 3 pagi kerana sesak nafas. Hati abang mana yang tak merintih pedih. Setiap hari selama 3 bulan berkampung di studio, setiap hari juga lah si adik ada bersama memberi semangat dan rasa teruja untuk konsert ini. Namun pada hari yang dinanti, dia pergi. Dapatkah Jo Branko beraksi?
“Perjuangan” membuka tirai malam, sekaligus memberi khabar pada semua, apa pun terjadi perjuangan tetap diteruskan, itu mesti. Konsert bermula dan cukup 7 baris gitaris, tak kurang walau seorang, berjuang sampai waktunya untuk pulang. Bulu roma meremang! Rasa sayu melihat sang abang berusaha untuk tenang, namun tetap professional dan komited dengan tugas yang digalas, kerana setiap ringgit yang dibayar peminat sangat dihargai dan wajib diberi persembahan skala tertinggi.
Riff terkenal “Isabella” beralun lembut dari petikan jari Shah Slam. Semua mata terpaku melihat Shah tetapi pada masa yang sama tercari-cari “Mana Kidd? Mana Kidd?” Kecoh seketika. Sorakan gemuruh bergema sebaik saja Kidd melangkah ke pentas dengan gitar di tangan, karisma seorang rockstar sejati menyerlah pada tahap paling maksima. Solo signature keramat dari Kidd berkumandang merdu, disampaikan penuh soulful, mengigit setiap telinga yang mendengar. Masuk menusuk terus ke dalam jantung. Mahakarya “masterpiece” dari Kidd yang melekat di jiwa ini akan terus menjadi solo legenda sampai bila-bila. Bergetar jantung dibuatnya, sumpah tak tipu.
“Henjut” lagi bersama Kidd dan Jo Branko sebelum Muzza menyebarkan “Virus” nya dengan bantuan Anis, Shah dan Jo. Habis semua terjangkit. Tiba-tiba terdengar intro solo yang sudah sekian lama tidak dimainkan oleh Jo, membuat seluruh Zepp KL gamat dan riuh rendah. Intro “Sejati” memecah malam, macam ada satu roh yang datang, membuatkan semua yang membanjiri Zepp KL malam itu goosebump. Hilang akal sekejap! Memang sekejap sebab hanya intro, bukan seluruh lagu, tapi itu saja sudah cukup huru-hara. Berhantu!
Kombinasi 7 gitaris menjadikan sebuah lagu berdurasi agak panjang, lebih 6-7 minit namun sedikit pun tidak merasa bosan kerana setiap gitar hero mempamerkan skill dan teknik yang berbeza. Lebih unik lagi apabila ada 2 gitaris tangan kidal. Man Keedal yang terkenal dengan teknik hammer-on, pull-off dan legato, bergabung energi trademark ‘pinch harmonic’ Jo Branko, berselang-seli dengan finger vibrato, arpeggio dan pull-off without plucking, fuhhh memang gila!
Tidak kurang hebatnya Raja Tremolo Malaysia – Kidd memperlihatkan solo merecik penuh jiwa dan sound melekit, Shah dengan bunyi gitar tajam yang bersih (clean) penuh dinamik, Jemboo dengan sentuhan hard rock, punk gothic pada setiap permainan alternate picking, si versatile Muzza yang kreatif dan fingerstyle penuh karisma, diserikan dengan sekuntum bunga yang tampak manis tapi agresif, mencuri perhatian ramai melalui trill, hybrid, strum dan string bending nya, itulah Anis Kalisa.
Eksplorasi gitar diteruskan dengan bantuan vokal bernada tinggi Muss, pengaruh blues Dato’ Hattan dan lontaran padu Lan Solo pada setiap lagu pilihan malam itu. Antaranya “Tiada Lagi Aku”, “Ranjang Malam”, “Jikalau Berkasih” dan “Dari Kacamata” yang dibawakan pada set medley akustik. Kontribusi setiap seorang dari mereka termasuklah Adi Yamin (kibod), Ainol (dram) dan Rozaimie (bass) adalah sangat jitu dan padu. Barisan musisi ini memberikan 100% yang terbaik dan lebih extra lagi pada malam itu berbanding sebelumnya.
Jo Branko gah bersama ‘Black Beauty’ nya menggila lagi dengan solo lagu “Biarkan Berlalu”. Petikan riff yang melayang-layang seperti kena ubat bius hospital. Penuh emosi, ketara terlihat kasih seorang abang yang menahan perasaan tetapi terluah dalam setiap petikan. “Gadis Melayu” dan “Hati Emas” menjadikan malam semakin gempita, meriah dengan sorakan peminat, tidak mahu konsert berakhir. Satu konsert yang sangat menghiburkan, setiap momen yang berlalu berisi padat dan sarat dengan memoribilia yang akan dikenang sampai bila-bila.
Akan ada kah lagi siri seterusnya untuk 7 vibrato gitar ini? Satu jenama yang saya rasakan sangat bijak. “Mungkin tidak, saya nak buat yang lain pula. Tak nak sama kalau boleh. Tapi saya tak fikir lagi, biar masa menentukan. Saya suka yang lain dari yang lain. Jadi saya kena fikir dulu apa lagi selepas ni.” Ujar Jo Branko, nampak penat tetapi sangat puas hati. Nantikan elemen surprise yang kerapkali diwujudkan oleh Jo Branko, pada masa akan datang. Tahniah Big Stage Entertainment Channel dan Anggerik Event atas kejayaan konsert keramat ini. Pastinya peminat di luar sana dahagakan kelainan seperti ini dan mahu ada lagi keajaiban yang bakal dicipta, kerana di Malaysia mempunyai lebih ramai bakat-bakat besar yang wajar diberi peluang dan diketengahkan pada platform akan datang.