MUZIK rock tidak pernah mati malah sentiasa berevolusi sesuai perubahan zaman dan teknologi bagi memuaskan halwa telinga peminatnya.
Irama gitar solo dalam muzik rock adalah yang sering disebut sebut oleh peminat terutama bagi lagu-lagu slow rock tahun- tahun 80-an dan 90-an.
Riff-riff gitar solo yang dihasilkan oleh beberapa pemain gitar handalan tanah air masih segar dalam benak pemuzik rock
tempatan.
Kerana kehebatan dan pentingnya gitar dalam sesebuah lagu rock, maka Konsert Tujuh Vibrato Gitar yang akan berlangsung pada 3 November ini di Zepp Kuala Lumpur.
Namun harus diingat, dalam konsert yang menampilkan tujuh gitaris hebat ini tidak ada istilah gitar hero, kata Pengarah Muzik konsert ini, Jo Branko.
“Meskipun masing-masing punya pengalaman yang cukup luas dalam industri, malah masing-masing punya ‘fan’ sendiri, itu bukanlah faktor utama untuk menjadikan mereka ‘gitar hero’ sewaktu di pentas itu nanti.
“Malah Tujuh Vibrato Gitar lebih bersifat ‘kerjasama’ yang mementingkan kredibiliti demi memastikan ‘sound’ gitar yang dihasilkan itu berbentuk harmoni di antara satu sama lain,” katanya ketika sidang media pada 21 September lalu.
Tujuh gitar maestro dipilih berdasarkan pengalaman, keunikan dan pengaruh muzik dalam era mereka yang tersendiri. Kata pemain gitar kumpulan Barbarik itu, tujuh gitaris akan disatukan di sebuah pentas dan menjadikan ianya suatu konsert yang unik yang belum pernah sama sekali diadakan di Malaysia.
Jo juga berharap konsert ini akan menjadi satu penanda aras bagi konsert – konsert lain yang bakal diadakan di pentas – pentas tempatan dan ianya juga setanding dengan persembahan artis – artis antarabangsa.
Menurut Man Keedal pula, Konsert Tujuh Vibrato Gitar ini juga mungkin akan menjadi satu–satunya konsert yang menyatukan tujuh lagenda gitaris negara dan mungkin tak akan ada lagi konsert yang seperti ini lagi diadakan. Maka ianya satu peluang yang tak harus dilepaskan oleh para peminat rock tempatan.
Tujuh Vibrato Gitar anjuran Big Stage Entertainment Channel turut menampilkan lima lagi pemain gitar iaitu Shah Slam, Muzza, Jemboo Def Gab C dan satu-satunya dewi gitar, Anis Kalisa.
Mereka akan diiringi kumpulan Barbarik yang dianggotai Rozaimie (bass), Adi Yamin (keyboards), Ainoll (dram) serta penyanyi latar Izzat dan Baby. Manakala tiga penyanyi terkenal yang ditampilkan ialah Datuk Hattan, Muss dan Lan Solo.
Mereka akan menyampaikan lagu lagu rock klasik dan kontemporari dari himpunan karya hebat muzik rock tempatan.
Mereka yang berhajat untuk menyaksikan konsert tersebut boleh mendapatkan tiket mulai sekarang yang telah mula dijual menerusi atas talian di www.tix-box.com. Tiket-tiket berharga RM188 (Rockzone), RM278 (Normal seats), RM338 (Premium seats) dan RM5,000 (VIP Box untuk 8 orang).